Seminar Penterjemahan Kebangsaan
14| Seminar Penterjemahan Kebangsaan Penterjemahan cerita rakyat Melayu untuk kanak-kanak: Kajian kes Institut Terjemahan Buku Malaysia dari 1993 hingga 2018 NOR IDATULAKMAR ZULKIFLI Universiti Sains Malaysia n_idatul@yahoo.com HASLINA HAROON Universiti Sains Malaysia haslina@usm.my ~ ABSTRAK ~ Meskipun sastera penting dalam pembangunan kanak-kanak, terjemahan sastera kanak- kanak tidak mempunyai status dan kedudukan yang tinggi dalam polisistem kesusasteraan di Malaysia. Sungguhpun sedemikian, sastera kanak-kanak tetap memainkan peranan penting dalam perkembangan nilai moral dan keagamaan serta pembentukan personaliti dalam kalangan kanak-kanak. Disebabkan hal ini, penterjemahan sastera untuk golongan kanak-kanak masih relevan. Dengan mengambil kira hal ini, makalah ini bertujuan untuk meneliti penterjemahan sastera berbentuk cerita rakyat Melayu untuk golongan kanak-kanak oleh Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) dari tahun 1993 hingga 2018. Data diperoleh melalui penelitian terhadap katalog, senarai penerbitan dan maklumat parateks. Hasil kajian menunjukkan bahawa dalam tempoh tersebut, ITBM telah menterjemah sebanyak 116 buah cerita rakyat Melayu, yang terdiri daripada tiga kategori utama, iaitu cerita binatang, cerita penglipur lara dan cerita teladan. Cerita-cerita ini diterjemahkan ke dalam lima bahasa, iaitu bahasa Inggeris, Arab, Mandarin, Tamil dan Jepun. Penerbitan melibatkan 12 siri berasingan, dengan penerbitan terbanyak ke dalam bahasa Inggeris, iaitu sebanyak 52 judul. Seramai 69 tenaga kerja terlibat dalam proses penterjemahan dan penerbitan, iaitu merangkumi 39 orang penterjemah, 21 orang pengadaptasi, 2 orang pengilustrasi, 5 buah pencetak dan 2 buah penerbit bersama. Dari aspek penghasilan dan reka bentuk pula, didapati kebanyakan cerita rakyat yang diterjemahkan adalah berkulit lembut, bersaiz potret dengan cetakan berukuran 23cm x 28cm, dengan halaman antara 13 hingga 52 muka surat yang disertakan teks, ilustrasi berwarna dan visual. Kertas kerja ini memperlihatkan kepentingan peranan penerbit bukan sahaja dalam penterjemahan sastera kanak-kanak tetapi juga dalam usaha untuk memelihara dan mempromosi satu aspek warisan budaya Melayu. KATA KUNCI Institut Terjemahan & Buku Malaysia, penterjemahan cerita rakyat, sastera kanak-kanak, penerbitan, penerbit, warisan budaya
Made with FlippingBook
RkJQdWJsaXNoZXIy MzA3OTEy